Assalammualaikum.
Apabila anda membeli tanah kediaman di perumahan tersusun, biasanya saiz 50 x
80 atau 60 x 90 kaki..maka langkah seterusnya bolehlah anda mula merekabentuk
pelan lantai rumah idaman anda. Kebiasaannya kita hanya memikirkan di mana nak
letak bilik tidur, bilik air, serta saiz bilik–bilik tersebut. Selebihnya ianya
akan ditentukan oleh pelukis pelan anda.
Sebenarnya
tidak cukup jika anda hanya membuat rekabentuk rumah anda hanya pada susunan
ruang sahaja. Ini bermaksud anda hanya membuat pelan lantai yang hanya
menunjukkan kedudukan ruang-ruang di dalam rumah seperti ruang tamu, ruang
makan, bilik tidur dan tandas. Ada banyak perkara lagi yang perlu anda ambil
perhatian dalam merekabentuk rumah ideal anda.
Berikut
ada beberapa tips dalam merekabentuk rumah anda. Walaubagaimana pun, tips ini
TIDAK terpakai untuk rumah teres, flat, semi D kerana pelan lantainya telah
ditentukan oleh pihak pemaju.
1. Rekabentuk
lokasi ruang sosial, peribadi dan kerja dengan tepat
Seperti
mana yang kita tahu, ruang sosial (ruang tamu, ruang keluarga) ruang peribadi
(bilik tidur, tandas) dan ruang kerja (dapur, garaj) memerlukan kedudukan yang
tepat demi keselesaan penghuni rumah dan juga pengunjung rumah.
Sebagai
contoh, pastikan tempat letak kereta tidak berhadapan dengan pintu masuk utama
rumah. Ini pasti menyukarkan penghuni dan pengunjung masuk ke rumah apabila ada
kereta diletakkan di depan pintu rumah. Pintu bilik tidur utama sepatutnya
tidak mengadap ke ruang tamu kerana ini akan menyukarkan tuan rumah untuk
keluar masuk ke dalam bilik jika ada tetamu sedang duduk di ruang tamu.
Kedudukan
pintu tandas yang tersorok, ataupun ada pelindungnya. Ini kerana kita tidak mahu pemandangan di dalam
tandas jelas dari ruang rehat keluarga ataupun dari meja makan.Pastikan rumah
anda ada pintu depan, tengah dan belakang. Ini akan memudahkan sebarang
pergerakkan keluar masuk.
2. Rekabentuk
Pelan Lantai Anda dengan susunan dan saiz perabot yang diingini.
Ini
bermaksud, apabila ada menentukan bentuk rumah anda (pelan lantai), anda perlu pastikan
juga perabot yang anda ingin tempatkan di ruang tersebut. Sebagai contoh,
bagaimana kedudukan sofa anda di ruang tamu? Saiz katil anda di bilik tidur?
Kedudukan kepala katil anda di dalam bilik? Di mana anda ingin meletakkan tv
anda? Di mana meja makan anda?
Ini
bermaksud, luas ruang anda perlu sesuai dengan saiz perabot anda dan kedudukan
perabot sepatutnya betul dan selesa dengan saiz ruang anda. Seringkali anda
sekeluarga menghadapi masalah ketika ingin mendapatkan perabot yang sesuai
kerana masalah saiz ruang di rumah anda.
3. Rekabentuk
Pelan Elektrik dan Perpaipan dengan Tepat
Pastikan
anda jelas dengan keperluan elektrik anda! Ini bermaksud anda tahu di mana
sepatutnya diletakkan plug, suis, soket telefon dan soket tv berbayar.
Kebiasaanya kedudukan soket elektrik ini ditentukan oleh pelukis pelan anda.
Ini menyebabkan apabila rumah anda sudah siap pendawaian elektriknya anda akan
merungut tidak cukup soket dan itu belum lagi bila anda sudah pun menduduki
rumah tersebut.
Lagi sepuluh
tahun? Apabila kedudukan kewangan anda sudah semakin stabil dan baik, pastinya
anda akan menambah peralatan elektrik di rumah anda? Mungkin waktu tu dah
keluar pun PlayStation 10!
Oh ya! Satu
lagi, berkenaan dengan pemilihan antara satu fasa dan tiga fasa? Emm…ini
sebenarnya bergantung kepada saiz rumah dan keperluan elektrik pada masa dibina
dan pada masa akan datang.
Perpaipan?...ya…ini
adalah satu aspek yang perlu anda ambil berat. Di mana letaknya sinki basuh tangan?
Berapa tangki simpanan air di dalam bumbung anda? Penggunaan jenis paip yang
betul dan kaedah pemasangan paip yang mengikut piawaian yang betul.
4. Persekitaran
Yang Selamat
Persekitaran
terbahagi kepada dua, di dalam rumah dan di luar rumah. Kita lihat dulu di luar
rumah, pastikan pagar yang kukuh dibina dan selamat. Selamat dari manusia yang
berniat jahat dan juga binatang merbahaya.
Pencahayaan
lampu di luar rumah mencukupi, ini bermaksud di hadapan, sisi kanan dan kiri
serta di belakang rumah perlu ada sekurang-kurangnya satu lampu yang cerah.
Pastikan juga lampu tersebut disediakan dengan menggunakan suis dua hala.
Jangan lupa juga lengkapi rumah anda dengan grill keselamatan pada setiap
tingkap dan pintu
Di dalam
pula, pastikan selamat untuk penghuni. Sebagai contoh sediakan persekitaran
rumah yang selamat untuk bayi, kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas.
Rumah yang lantainya bertingkat untuk membezakan ruang perlu jelas supaya
mengelakkan penghuni terjatuh. Elemen tangga perlu dibina dengan berhati-hati
kerana kanak-kanak cukup sukakan tangga. Elemen peralatan di dalam bilik mandi
juga perlu diberi perhatian khas kerana bilik mandi adalah tempat selalu
berlakunya kemalangan.
5. Kelengkapan
Dalaman Yang Betul
Apa itu
kelengkapan rumah? Ini lebih kepada hiasan dalaman, walaupun ianya tidak
mempengaruhi aspek rekabentuk rumah anda, akan tetapi ianya penting dalam
memastikan keselesaan anda ketika berada di rumah. Antara kelengkapan yang
perlu anda fikirkan ialah langsir, peralatan elektrik lampu (salah satu aspek
yang sangat penting) kipas penyaman udara, perabot dan lain-lain.
Semua
perkara yang dijelaskan di atas perlu difikirkan semasa proses merekabentuk
rumah anda kerana ianya akan memberikan hasil/output yang terbaik. Kaedah yang
berkesan ialah sentiasa membuat rujukan pada majalah-majalah hiasan dalaman
yang terkini. Sebagai contoh, teknik pencahayaan yang betul akan memberikan
lebih kesan pada rumah anda.
Sebenarnya
terlalu banyak perkara yang boleh dibincangkan dalam merekabentuk rumah
kediaman ideal anda. Belum lagi kita membincangkan pemilihan kontraktor yang
boleh membina rumah yang diidamkan. Walaubagaimanapun, serba sedikit tips boleh
saya bincangkan dalam artikel kali ini. Saya juga ada menyediakan perkhidmatan
menyediakan pelan rumah budget serta khidmat rundingan. Boleh hubungi saya di nizamlangitsenja@yahoo.com.my
Pastikan
anda menyimpan semua dokumen berkaitan rumah anda (pelan lantai, pelan
pendawaian, perpaipan sanitari , surat kelulusan pinjaman, surat majlis daerah,
surat cagaran insuran, semua resit pembelian dll). Pastikan juga anda mengambil
gambar dari peringkat tanah kosong, sehingga siap agar dapat dijadikan semakan
jika berlaku sebarang masalah pada masa akan datang.
Semua
ini perlu diketahui oleh anda sebagai pemilik rumah kerana kelak akan datang
apabila semua perkara ini perlukan penyelengaraan, maka anda sebagai tuan rumah
aka pereka rumah ini pastinya tahu semua tentang luar dalam rumah ini. Tiada
masalah kan? Lepas ni bolehlah saya
menulis serba sedikit tentang penyelenggaraan rumah yang boleh kita buat
sendiri tanpa memerlukan tukang datang ke rumah. Wallahualam
Semoga
berjumpa lagi.
by Hasnizam Aziz
1 comment:
Tq for sharing..very good info n tips
Post a Comment