16 September 2015

5 Tips Dalam Merekabentuk Rumah

 
Assalammualaikum. Apabila anda membeli tanah kediaman di perumahan tersusun, biasanya saiz 50 x 80 atau 60 x 90 kaki..maka langkah seterusnya bolehlah anda mula merekabentuk pelan lantai rumah idaman anda. Kebiasaannya kita hanya memikirkan di mana nak letak bilik tidur, bilik air, serta saiz bilik–bilik tersebut. Selebihnya ianya akan ditentukan oleh pelukis pelan anda.
Sebenarnya tidak cukup jika anda hanya membuat rekabentuk rumah anda hanya pada susunan ruang sahaja. Ini bermaksud anda hanya membuat pelan lantai yang hanya menunjukkan kedudukan ruang-ruang di dalam rumah seperti ruang tamu, ruang makan, bilik tidur dan tandas. Ada banyak perkara lagi yang perlu anda ambil perhatian dalam merekabentuk rumah ideal anda.
Berikut ada beberapa tips dalam merekabentuk rumah anda. Walaubagaimana pun, tips ini TIDAK terpakai untuk rumah teres, flat, semi D kerana pelan lantainya telah ditentukan oleh pihak pemaju.
1.    Rekabentuk lokasi ruang sosial, peribadi dan kerja dengan tepat
 
Seperti mana yang kita tahu, ruang sosial (ruang tamu, ruang keluarga) ruang peribadi (bilik tidur, tandas) dan ruang kerja (dapur, garaj) memerlukan kedudukan yang tepat demi keselesaan penghuni rumah dan juga pengunjung rumah.
 
Sebagai contoh, pastikan tempat letak kereta tidak berhadapan dengan pintu masuk utama rumah. Ini pasti menyukarkan penghuni dan pengunjung masuk ke rumah apabila ada kereta diletakkan di depan pintu rumah. Pintu bilik tidur utama sepatutnya tidak mengadap ke ruang tamu kerana ini akan menyukarkan tuan rumah untuk keluar masuk ke dalam bilik jika ada tetamu sedang duduk di ruang tamu.
 
Kedudukan pintu tandas yang tersorok, ataupun ada pelindungnya. Ini  kerana kita tidak mahu pemandangan di dalam tandas jelas dari ruang rehat keluarga ataupun dari meja makan.Pastikan rumah anda ada pintu depan, tengah dan belakang. Ini akan memudahkan sebarang pergerakkan keluar masuk.
 
2.    Rekabentuk Pelan Lantai Anda dengan susunan dan saiz perabot yang diingini.
 
Ini bermaksud, apabila ada menentukan bentuk rumah anda (pelan lantai), anda perlu pastikan juga perabot yang anda ingin tempatkan di ruang tersebut. Sebagai contoh, bagaimana kedudukan sofa anda di ruang tamu? Saiz katil anda di bilik tidur? Kedudukan kepala katil anda di dalam bilik? Di mana anda ingin meletakkan tv anda?  Di mana meja makan anda?
 
Ini bermaksud, luas ruang anda perlu sesuai dengan saiz perabot anda dan kedudukan perabot sepatutnya betul dan selesa dengan saiz ruang anda. Seringkali anda sekeluarga menghadapi masalah ketika ingin mendapatkan perabot yang sesuai kerana masalah saiz ruang di rumah anda.
 
3.    Rekabentuk Pelan Elektrik dan Perpaipan dengan Tepat   
 
Pastikan anda jelas dengan keperluan elektrik anda! Ini bermaksud anda tahu di mana sepatutnya diletakkan plug, suis, soket telefon dan soket tv berbayar. Kebiasaanya kedudukan soket elektrik ini ditentukan oleh pelukis pelan anda. Ini menyebabkan apabila rumah anda sudah siap pendawaian elektriknya anda akan merungut tidak cukup soket dan itu belum lagi bila anda sudah pun menduduki rumah tersebut.
 
Lagi sepuluh tahun? Apabila kedudukan kewangan anda sudah semakin stabil dan baik, pastinya anda akan menambah peralatan elektrik di rumah anda? Mungkin waktu tu dah keluar pun PlayStation 10!
Oh ya! Satu lagi, berkenaan dengan pemilihan antara satu fasa dan tiga fasa? Emm…ini sebenarnya bergantung kepada saiz rumah dan keperluan elektrik pada masa dibina dan pada masa akan datang.
Perpaipan?...ya…ini adalah satu aspek yang perlu anda ambil berat. Di mana letaknya sinki basuh tangan? Berapa tangki simpanan air di dalam bumbung anda? Penggunaan jenis paip yang betul dan kaedah pemasangan paip yang mengikut piawaian yang betul.
 
4.    Persekitaran Yang Selamat
Persekitaran terbahagi kepada dua, di dalam rumah dan di luar rumah. Kita lihat dulu di luar rumah, pastikan pagar yang kukuh dibina dan selamat. Selamat dari manusia yang berniat jahat dan juga binatang merbahaya.
Pencahayaan lampu di luar rumah mencukupi, ini bermaksud di hadapan, sisi kanan dan kiri serta di belakang rumah perlu ada sekurang-kurangnya satu lampu yang cerah. Pastikan juga lampu tersebut disediakan dengan menggunakan suis dua hala. Jangan lupa juga lengkapi rumah anda dengan grill keselamatan pada setiap tingkap dan pintu
Di dalam pula, pastikan selamat untuk penghuni. Sebagai contoh sediakan persekitaran rumah yang selamat untuk bayi, kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas. Rumah yang lantainya bertingkat untuk membezakan ruang perlu jelas supaya mengelakkan penghuni terjatuh. Elemen tangga perlu dibina dengan berhati-hati kerana kanak-kanak cukup sukakan tangga. Elemen peralatan di dalam bilik mandi juga perlu diberi perhatian khas kerana bilik mandi adalah tempat selalu berlakunya kemalangan.
 
5.    Kelengkapan Dalaman Yang Betul
 
Apa itu kelengkapan rumah? Ini lebih kepada hiasan dalaman, walaupun ianya tidak mempengaruhi aspek rekabentuk rumah anda, akan tetapi ianya penting dalam memastikan keselesaan anda ketika berada di rumah. Antara kelengkapan yang perlu anda fikirkan ialah langsir, peralatan elektrik lampu (salah satu aspek yang sangat penting) kipas penyaman udara, perabot dan lain-lain.
Semua perkara yang dijelaskan di atas perlu difikirkan semasa proses merekabentuk rumah anda kerana ianya akan memberikan hasil/output yang terbaik. Kaedah yang berkesan ialah sentiasa membuat rujukan pada majalah-majalah hiasan dalaman yang terkini. Sebagai contoh, teknik pencahayaan yang betul akan memberikan lebih kesan pada rumah anda.

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh dibincangkan dalam merekabentuk rumah kediaman ideal anda. Belum lagi kita membincangkan pemilihan kontraktor yang boleh membina rumah yang diidamkan. Walaubagaimanapun, serba sedikit tips boleh saya bincangkan dalam artikel kali ini. Saya juga ada menyediakan perkhidmatan menyediakan pelan rumah budget serta khidmat rundingan. Boleh hubungi saya di nizamlangitsenja@yahoo.com.my
Pastikan anda menyimpan semua dokumen berkaitan rumah anda (pelan lantai, pelan pendawaian, perpaipan sanitari , surat kelulusan pinjaman, surat majlis daerah, surat cagaran insuran, semua resit pembelian dll). Pastikan juga anda mengambil gambar dari peringkat tanah kosong, sehingga siap agar dapat dijadikan semakan jika berlaku sebarang masalah pada masa akan datang.
Semua ini perlu diketahui oleh anda sebagai pemilik rumah kerana kelak akan datang apabila semua perkara ini perlukan penyelengaraan, maka anda sebagai tuan rumah aka pereka rumah ini pastinya tahu semua tentang luar dalam rumah ini. Tiada masalah kan? Lepas ni bolehlah  saya menulis serba sedikit tentang penyelenggaraan rumah yang boleh kita buat sendiri tanpa memerlukan tukang datang ke rumah. Wallahualam
Semoga berjumpa lagi.

                                                                                                                                                  by Hasnizam Aziz
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 


1 comment:

Anonymous said...

Tq for sharing..very good info n tips

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Faranina Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign